Knowledge Support

Falsafah Pendidikan Kebangsaan Perlu Ditulis Semula

Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk menilai keberadaan (present) ilmu falsafah di Malaysia, lalu mencadangkan untuk menukar beberapa perkataan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan sedia ada. Usaha ini masih dalam proses cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia hasil perbincangan saya yang mewakili MPP Pascasiswazah UMS bersama Jabatan Pendidikan Tinggi Malaysia pada Disember 12, 2018. Sebarang cadangan dan kritikan di ruang komen artikel ini untuk menambahbaik idea dan usaha cadangan penulisan semula Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah digalakkan.

Image source: Google Image

Existentialisme Ilmu dan Kuasa


Dalam aspek pendidikan di Malaysia, kewujudan dan keberadaan proses pengajaran dan pembelajaran ilmu yang berkesan boleh dikenalpasti dengan merungkai persoalan keadaan (moments) menurut falsafah existentialisme terhadap kewujudan dan keberadaan jasad yang dikenali sebagai ‘ilmu’; (i) past – dari mana ilmu datang, (ii) present – kenapa ilmu ada disini, dan (iii) future – kemana tuju ilmu ini. Inilah persoalan agung yang harus dijawab bilamana kita membicarakan soal pendidikan dan ilmu.

Secara literalnya ilmu adalah fahaman teoritikal dan praktikal terhadap sesuatu subjek, malah pendidikan pula adalah proses penerimaan dan pemberian ilmu. Yang memberi nyawa atau roh kepada pendidikan ialah ilmu. Subjek yang menjadi ilmu pula lahir daripada kumpulan prinsip dan teori-teori yang sudah terbukti falsafah epistemologi dan teologinya. Amalan dan praktis daripada ilmu yang dipelajari mendidik manusia untuk berterusan memberi manfaat secara sejagat. Inilah yang dikenalpasti sebagai hikmah disebalik kewujudan dan keberadaan ilmu.

Dalam konteks hubungan pendidikan ilmu antara Negara dan rakyat pula, ilmu datang daripada sistem pendidikan yang dirangka oleh pemerintah dan amalan serta praktis ilmu yang dipelajari bergantung kepada proses keberadaan (present) sistem. Konsep sistem pula, menurut falsafah mekanik (ilmu fizik) menyatakan bahawa sesuatu sistem akan memiliki kuasa jika wujud interaksi yang disebut sebagai kerja ‘ada’ dilakukan dalam satu tempoh masa tertentu. Umum mengetahui bahawa kuasa berkadar songsang dengan masa. Semakin panjang masa diambil dalam melaksanakan sesuatu kerja, maka semakin berkurangan kuasa yang dijana.

Bagi memastikan nilai penjanaan kuasa meningkat, tuntutan terhadap sejumlah tenaga kerja yang besar dan banyak perlu dilakukan. Memandangkan masa sentiasa bergerak kehadapan (bernilai positif), pergerakan masa yang bersifat komulatif ini (terkumpul dan sentiasa bertambah) menjadikan setiap perkara yang memiliki kuasa perlu untuk sentiasa bekerja dalam keberlansungannya. Maka, sistem yang berhenti bermaksud keberadaan tenaga kerja adalah pasif terhadap masa. Oleh itu, dalam apa sahaja bentuk sistem yang ‘wujud’ dan ‘ada’ dimuka bumi ini, keberlangsungan hikmahnya dijamin berlaku dengan berkesan sekiranya hukum interaksi sistem itu dipenuhi; semakin singkat masa untuk melakukan kerja, semakin efisen keberadaan sistem untuk bertinteraksi, maksudnya kuasa yang ada pada sistem dalam keadaan semasa (present) adalah tinggi.

Oleh itu, kewujudan ilmu boleh dipastikan keberadaannya mengikut tiga keadaan (moments) iaitu yang sudah berlaku (past), semasa (present) dan yang akan datang (future). Falsafah existentialisme menyatakan bahawa kelangsungan (sustainable) sesuatu yang wujud diyakini keberadaanya bilamana tiga keadaan (moments) ini berlaku, dan daripada situ terhasilnya hikmah . Manakala, dalam menilai keberlangsungan pula, hukum fizik yakni falsafah mekanik perlu dipatuhi. Kerja dalam keadaan semasa (present) perlulah aktif terhadap masa. Ringkasnya, deduksi penulis daripada kedua-dua falsafah ini adalah seperti berikut;

 

Dalam satu keadaan (moments), bagi membuktikan sesuatu perkara itu wujud (exist), kita perlu memastikan keberadaannya (present) untuk menjamin keberlangsungan (sustainable) hikmahnya (wisdom).

 

Image Source: Google Image

Sistem Pendidikan di Malaysia dan Falsafahnya


Di Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi asas kepada sistem pengajaran dan pembelajaran ilmu. Falsafah yang tertulis ini adalah bukti tampak keberadaan dan kewujudan ilmu dalam sistem pendidikan semasa (present). Namun jika diperhatikan rangkap falsafah ini dengan teliti (perenggan dibawah), kewujudan dan keberadaan kata ‘ilmu’ adalah kata terbitan daripada potensi ‘individu’ yang dikembangkan;

 

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

 

Dengan menjadikan ilmu sebagai subjek utama pendidikan, usaha berterusan untuk mengembangkan potensi ‘semua ilmu’ adalah lebih tepat berbanding potensi ‘individu’. Dalam falsafah existentialisme, ilmu dan individu adalah subjek yang hidup (living-things) dan keberadaan kedua-duanya adalah berbeza. Keadaan past dalam ilmu adalah idea, present pula bilamana ilmu menjadi subjek dan future adalah teori. Manakala bagi individu yang merujuk kepada jasad manusia pula, fahaman existentialist jelas bilamana ia berakarkan agama. Mengambil contoh pembuktikan ‘wujud’ dan ‘ada’nya manusia dalam agama Islam. Dalam Islam, asas pemikiraan existentialisme Muhammad selaku manusia pencetus kepada agama Islam adalah tauhid; (meyakini tuhan adalah satu) daripada tuhan (satu) manusia datang, dan kepada tuhan (satu) manusia kembali. Di dalam idea tauhid ini, persoalan keadaan dalam kalangan existentialist terhadap keberadaan manusia jelas terjawab; keadaan past pada manusia ialah tuhan yang satu, keadaan present ialah menyembah tuhan yang satu, dan keadaan future juga kembali kepada tuhan yang satu.

Kelangsungan hikmah disebalik ‘wujud’ dan ‘ada’nya agama Islam berterusan (berkuasa) sekalipun Muhammad sudah meninggal dunia. Kalangan existentialist melihat bahawa selepas kemangkatan Muhammad, kewujudan agama Islam dilihat berevolusi dalam empat mazhab utama (aliran fahaman) khusus untuk menjelaskan (bekerja) persoalan keadaan present. Dalam keempat-empat mazhab ini pula, falsafah keberadaanya sama dengan asas keadaan past dan future yang diwujudkan oleh Muhammad dalam fahaman tauhid (tuhan itu satu), malah konsisten dan melengkapi proses kewujudan dan keberadaan falsafah tauhid terhadap masa (peredaran zaman). Hal ini menjadikannya empat aliran fikir present ini diterima oleh manusia Islam di seluruh dunia. Fahaman tauhid ini ‘wujud’ dan ‘ada’ sehingga kini. Inilah yang menjadi hikmah (benih kepada kualiti hidup manusia Islam) dalam asas fahaman atau falsafah Islam terhadap kewujudan manusia yang yang dilihat menjawab (satisfied) keadaan (the moments) persoalan falsafah existentialisme iaitu past, present, dan future.

Penulisan dan penterjemahan struktur falsafah tauhid yang ringkas, padat dan berfokus inilah yang menjamin kewujudan dan keberadaan Islam sebagai ilmu agama berkuasa dalam diri individu. Falsafah tauhid ini adalah idea pendidikan agama Islam yang berkonsepkan ilmu, dan ilmu itu dikenali sebagai konsepsi ‘tuhan itu wujud dan ada’, ilmu ketuhanan. Inilah potensi ilmu ketuhanan yang dikembangkang oleh falsafah tauhid dan perkara yang sama juga berlaku dalam setiap agama yang wujud dimuka bumi ini; manusia itu ada tuhannya.

Bilamana berbicara akan potensi individu pula, ‘wujud’ dan ‘ada’ satu falsafah yang sentiasa mengangkat martabat potensi individu, iaitu falsafah kapitalisme. Falsafah kapitalis ini berasaskan freedom, kebebasan untuk individu memiliki dan mengawal haknya bekerja demi keuntungan. Sistem kapitalis yang bekerja berpaksikan kebebasan dan keuntugan ini lahir daripada idea dan usaha untuk mengembangkan potensi individu untuk berkuasa. Idealogi individualisme ini jika dilihat praktikal dan amalannya dalam kalangan manusia nusantara terutamanya di Malaysia sentiasa bertentangan dengan falsafah nusantara. Secara amnya, falsafah nusantara menerapkan idea potensi kekitaan atau kebersamaan (collectivisme) manakala falsafah barat pula merapkan idea potensi individu untuk dikembangkan bagi menjamin keberlangsungan hikmah kewujudan dan keberadaan ilmu.

Analisi terhadap maksud kata terbitan ‘mewujudkan’ dan ‘mendidik’ pula dapat digambarkan dengan jelas melalui teori Real Analysis dalam falsafah kewujudan nombor seperti berikut;

Usaha ‘mewujudkan’ adalah perbuatan atau kerja yang dilakukan untuk menjadikan perkara yang tidak ada (sifar,0) kepada sesuatu yang bernilai. Daripada persamaan nombor di atas, simbol ‘anak panah’ menggambarkan keadaan perubahan sesuatu perbuatan/perkara/kerja daripada tidak bernilai atau sifar kepada satu nilai samada bertambah (positif) ataupun berkurang (negatif) daripada keadaan asalnya. Mantik disebalik usaha mewujudkan ‘satu nilai’ pada diri individu adalah bersifat paksaan kerana umum mengetahui hikmah kejadian manusia bukan ‘sifar’. Potensi individu ada nilainya dan nilai ini sebenarnya ‘menghampiri sifar’ bukannya ‘sifar’. Oleh sebab itulah, memandangkang usaha ‘mendidik’ itu adalah proses belajar dan mengajar ilmu, dan ilmu  pula tidak bermula daripada ‘sifar’, maka ‘mendidik’ adalah kata terbitan yang tepat untuk proses menyemai ‘ilmu’. Jika kita perhatikan persamaan matematik di atas, mendidik adalah perbuatan/perkara/kerja yang membentuk nilai daripada keadaan ‘menghampiri sifar’ kepada keadaan yang bukan ‘menghampiri sifar’ (menghampiri dan lebih daripada nilai sifar).

Maka dengan itu, usaha menyemak semula Falsafah Pendidikan Kebangsaan di Malaysia adalah wajar sekiranya penggubal sistem pendidikan serius untuk mengembangkan potensi ilmu dan bukannya individu. Matlamat daripada memperkembangkan lagi potensi ilmu ini mampu ‘mendidik’ insan dan bukannya ‘mewujudkan’ insan, kerana kata terbitan ‘mendidik’ bersifat lebih objektif daripada ‘mewujudkan’. Seharusnya, ayat pertama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang sedia ada perlu ditulis sedemikian;

 

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi semua ilmu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mendidik insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”  – Ayat pertama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

 

Usaha “memperkembangkan lagi potensi individu” berbanding potensi ‘semua ilmu’ adalah punca utama keadaan semasa (present) sistem pendidikan di Malaysia tidak objektif dalam melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan lalu mampu memberi sumbangan kepada manusia sejagat. Semangat dan roh ilmu yang dimiliki oleh manusia nusantara wajar diterapkan oleh sistem pendidikan di Malaysia. Tuntutan falsafah pendidikan sedia ada terhadap potensi individu yang perlu dikembangkan adalah bersifat individualist, kerana usaha ini berjantungkan falsafah kapitalisme. Maka dengan sebab itulah di bilik darjah atau di dewan kuliah, menilai potensi pelajar secara individu sudah menjadi keutamaan pendidik berbanding potensi ilmu. Ilmu yang diajar dan dipelajari seharusnya mampu untuk diserap dalam idea kekitaan dan kebersamaan demi menyemai keberlangsungan semangat manusiawi nusantara.

Dalam menilai hikmah disebalik ilmu yang dipelajari itu mampu dipraktikkan, prinsip kebersamaan (collectivism) adalah perkara asas pelaksanaan falsafah nusantara, bukannya idea individualisme. Di awal pembentukan sistem dalam pendidikan yang berdasarkan falsafah sedia ada ini dilihat sudah bertentangan dengan falsafah manusia nusantara. Seharusnya falsafah pendidikan ilmu untuk manusia nusantara ini bersifat kekitaan dan kebersamaan dalam mengembangkan potensi ilmu dan bukannya individu agar proses pengajaran dan pembelajaran ilmu yang berlaku di Malaysia mendidik insan untuk meneroka ilmu dengan berhikmah.

Maka dengan itu tidak hairanlah jika potensi Individu yang dituntut untuk dikembangkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan gagal diukur dengan baik. Buktinya, pelajar yang pandai menghafal dilabel bijak dan yang lemah menghafal adalah kurang bijak. Inilah Kaedah pengelasan potensi individu dalam sistem pendidikan masa kini. Dalam situasi ini, ilmu tidak lagi dipandang tinggi sebaliknya dianggap sebagai skrip lakonan yang akhirnya perlu dilakonkan dihadapan penonton. Potensi itu diukur berdasarkan kebijaksanaan individu pelajar menghafal dan bukannya kemampuan amalan dan praktis ilmu secara sejagat. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ada para ilmuan dan sarjana kini berperanan sebagai robot-robot penghafal ilmu. Ilmuan dan sarjana masa kini kebanyakannya consume the knowledge dan bukannya contemplate the knowledge.

Sistem pendidikan seharusnya menilai potensi ilmu yang bersesuaian dengan personaliti pengajar dan pelajarnya agar tidak wujud tenaga pengajar yang berkiblatkan silibus pengajaran semata, manakala pelajar perlu menjadi robot-robot penghafal yang berjaya. Apabila ilmu diterapkan bersesuaian dengan personaliti pengajar dan penuntut ilmu, amalan dan praktikal terhadap ilmu itu akan menjadi lebih lebih mudah dikerjakan dan dijiwai. Sebagai contoh, potensi kepada ilmu komunikasi mampu dikembangkan apabila pendidikan ilmu ini diberikan kepada pelajar dan pengajar yang bersifat extrovert. Manusia extrovert lebih cenderung bercakap berbanding manusia introvert, maka penerapan ilmu komunikasi kepada manusia dalam kelompok extrovert adalah tindakan sistem pendidikan berhikmah. Inilah idea yang lahir daripada falsafah nusantara. Ianya ‘wujud’ dan untuk menjamin keberadaan hikmahnya memiliki kuasa, sejumlah kerja yang aktif terhadap masa perlu dilakukan dengan segera.

Image Source: Google Image

Kesimpulan

Sekiranya potensi ilmu dikembangkan, sesebuah sistem pendidikan akan mampu membuat pengukuran kerana ilmu sifatnya objektif. Seharusnya falsafah pendidikan di Malaysia menilai potensi yang ada pada semua ilmu untuk dikembangkan, agar ilmu menjadi alat mendidik insan yang holistik pengamalan ilmunya. Kegagalan pengamalan terhadap ilmu falsafah untuk dikembangkan dalam sistem pendidikan sedia ada adalah contoh kepada persoalan kedua (present – kenapa ilmu ada disini) dalam falsafah existentialisme tidak terjawab. Sebab itulah ilmu falsafah di Malaysia ‘wujud’ tetapi tidak ‘ada’. Berkurun kita melihat bahawa ilmu falsafah dalam pendidikan kita itu wujud tetapi tidak menentu keberadaannya. Tidak wujud sebarang ‘kerja’ berhikmah yang menjamin kuasa ‘wujud’ dan ‘ada’ dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh sebab itulah keberlangsungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini tidak berfokus dan terumbang-ambing matlamatnya. Sistem pendidikan yang dirangka oleh pemerintah kini berkiblatkan kehendak industri semata-mata, bukan lagi keperluan manusiawi. Hal ini berlaku atas akibat asas fikir kepada disebalik idea pendidikan di Malaysia ini tidak se-roh dengan ilmu dan manusia nusantara. Maka dengan itu, penulis menuntut untuk kita menulis semula Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

[download Pdf file : Falsafah Pendidikan Kebangsaan Perlu Ditulis Semula]

 

Cebisan Idea Penulis,

Janifal Alipal, January 01, 2019 @PandoraUA1

BAHAN RUJUKAN

Heidegger, M. (1962). Being and time. 1927. Trans. John Macquarrie and Edward Robinson. New York: Harper.

Danto, A. C. (1968). Analytical philosophy of knowledge.

Lederman, N. G. (2013). Nature of science: Past, present, and future. In Handbook of research on science education (pp. 845-894). Routledge.

Popper, K. (2014). Conjectures and refutations: The growth of scientific knowledge. Routledge.

Zhong, X. M., & Fan, K. K. (2016). A New Perspective on Design Education: A” Creative Production-Manufacturing Model” in” The Maker Movement” Context. Eurasia Journal of Mathematics, Science & Technology Education, 12(5).

Bennett, J. A. (1986). The mechanics’ philosophy and the mechanical philosophy. History of science, 24(1), 1-28.

Alhabhi, S. O., & Hakim, H. (2010). Dasar dan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan. Kertas kerja.

Yazdī, M. Ḥ., & Yazdi, M. H. I. (1992). Principles of Epistemology in Islamic Philosophy, The: Knowledge by Presence. Suny Press.

Hakemy, S. (2017). Capitalism and Freedom. Macat Library.

Nisbett, R. (2004). The geography of thought: How Asians and Westerners think differently… and why. Simon and Schuster.

Dudley, R. M. (2018). Real Analysis and Probability: 0. Chapman and Hall/CRC.

Lane, S. M. (1981). Mathematical models: A sketch for the philosophy of mathematics. The American Mathematical Monthly, 88(7), 462-472.

Join the discussion