Personal Interest

Kejuruteraan Manusia : Idola Adalah Falasi Kerjaya dan Masa Depan

Sejak di bangku sekolah lagi, saya kerap diberitahu bahawa untuk berjaya dalam apa sahaja kerjaya yang saya ceburi, saya perlukan idola, individu yang mampu menjadi inspirasi kepada saya untuk bergerak maju kehadapan. Bila bertanya kepada kawan-kawan sekitar, ramai yang menjadikan tokoh-tokoh agama, para jutawan, dan golongan profesional menjadi idola mereka.

Namun, bila usia meningkat remaja muda belia, mejoriti senarai idola mereka ini bertambah kepada golongan artis kontemporari pula. Malah ada yang melupakan terus idola zaman kanak-kanak mereka secara total. Kepuasan hidup pada masa ini terlalu ‘superfacial’. Populariti dan hidup mewah diburu mengikut paparan media sensasi yang digelar oleh mereka sebagai zaman moden.

idolatry-part-2
source: Google Image

Hasil daripada budaya mencari idola dalam hidup ini menjadi lebih parah bilamana media massa tidak integriti dalam informasinya. Pemimpin korup disanjung, kesempurnaan fizikal diagungkan, bijak menghafal digurukan dan kelengkapan materiali dijadikan kayu pengukur kejayaan. Lebih mengecewakan apabila milikan harta, wang, dan darjat menjadi zikir hidup penyembah kemewahan.

Maka dengan itu, tidak hairanlah kita melihat generasi moden kini bekerja 24/7 (‘twenty-four-seven’) dan berpendidikan hanya semata-mata untuk kerja berhabuan tinggi sahaja. Yang betul-betul menyumbang kepada perkembangan antropologi kemanusiaan boleh dikira dengan jari. Kepada individu yang gagal dalam persaingan mereka mengejar idola, kerjaya mereka dikira sebagai sumbangan picisan kepada masyarakat. Mereka akan sentisa menjadi mangsa dalam sistem yang berpaksikan idola ini.

Olahan Psikologi Persaingan


Zaman yang dinamakan sebagai moden ini sebenarnya tidak moden daripada segi pembangunan kendiri individu. Kerjaya wang dan kepuasan material menjadi racun kepada setiap individu manusia untuk mengenalpasti kelebihan dan keistimewaan kendiri masing-masing. Semua deria tampak diajukan fokusnya kepada kelebihan dan keistimewaan idola mereka yang ditulis oleh media massa. Tindakan ini menjadikan setiap individu manusia lupa akan ilmu mengenal diri mereka masing-masing.

puppetmaster-1
source: Google Image

Dalam ilmu mengenal Tuhan bagi orang yang beragama pun, perkara paling asas yang perlu diburu adalah ilmu mengenal diri sendiri. Maksudnya ialah, setiap individu perlu untuk mengenalpasti kelemahan dan kelebihan yang ada pada dirinya terlebih dahulu barulah dia boleh bergerak setapak kehadapan menentukan halatuju hidupnya. Secara peribadi, bagi saya penyataan ini menuju ke arah yang bertentangan dengan sistem ekplorasi ilmu zaman moden. Zaman kini, manusia dididik untuk membanding beza diri mereka dengan individu yang lain. Fahaman dan amalan terhadap konsep hidup manusia yang seharusnya saling melengkapi dimamah oleh konsep persaingan antara satu sama lain.

Sebagai contoh, isu baru-baru ini di Malaysia, calon UPSR, guru-guru, beserta ibu-bapa bersedih dan kecewa akan rombakan terhadap sistem perperiksaan tahun ini tidak membantu anak-anak mereka mencapai skor tertinggi seperti tahun sebelumnya. Perasaan itu lahir hasil daripada psikologi sekumpulan manusia yang bersetuju untuk bekerja dalam sistem perperiksaan UPSR sebagai medium untuk menentukan masa depan dan kerjaya mereka masing-masing. Guru-guru berprestij tinggi perlu mengekalkan statusnya, ibu bapa berkorban agar anak mereka ‘menjadi’ dan mendapat ‘pujian’ jiran tetangga, manakala calon-calon pula mengharapkan ‘tittle’ sebagai pelajar bijak pandai agar berupaya dikumpulkan bersama dengan pelajar yang seangkatan mindanya. Bilamana usaha dan kerja terhadap olahan sistem yang bernadikan persaingan ini tidak mencapai habuannya, maka terbentuklah respon negatif terhadap pencipta sistem tersebut.

Yang mencipta sistem merupakan sekumpulan manusia yang ingin melakukan penambahbaikan terhadap kualiti pendidikan di Malaysia. Masalah ‘patent’ soalan yang sama setiap tahun dan soalan bocor diatasi dengan rombakan yang sudah dimaklumkan lebih awal bahawa sistem ini secara total berbeza dengan yang sebelumnya. Semua maklum akan keadaan ini.

img_5279
source: Google Image

Diakhir pelaksanaan sistem, semua pihak yang terlibat mengambarkan tiga (3) perkara dibawah:

  1. Sistem berorentasikan perperiksaan mendidik manusia bijak menghafal ‘patent’ bukan bijak beradaptasi terhadap ilmu yang dipelajarinya. Perperiksaan bukan medium yang mampu mensimulasi minda penuntut ilmu, maka tidak wajar calon-calon yang berjaya digelar sebagai individu yang bijak pandai manakala yang kurang berjaya dicampakkan dalam kelompok yang dilabel sebagai lemah. Penilaian ini tidak tepat terhadap kemampuan sebenar penuntut ilmu.

  2. Persaingan yang wujud menjadikan para guru dan ibu-bapa tertekan dengan ‘status’ yang akan dilabel kepada mereka oleh pencipta sistem. Serangan psikologi ini menjadikan setiap usaha didikan yang dilakukan oleh mereka terhadap pelajar yang kurang berjaya dipandang remeh kerana ia tidak tertulis di kertas perperiksaan yang akan mendapat gred diakhir sistem. Analisis dan sintesis ilmu yang dicurahkan oleh mereka mejoritinya berorentasikan kertas peperiksaan semata-mata. Para guru dan ibu-bapa yang betu-betul memahami realiti dewan perperiksaan dengan kemampuan anak didik mereka terlalu optimum.

  3. Rombakan terhadap sistem oleh penciptanya demi kualiti pendidikan dianggap sebagai pemusnah kepada masa depan calon. Hal ini mengambarkan bahawa tindakan penambahkan yang dilakukan tidak pernah cukup untuk membuktikan siapa yang lebih baik di dalam sistem pendidikan berorentasikan perperiksaan ini. Maksudnya persaingan di dalam dewan perperiksaan tidak ada penghujungnya dalam menentukan kelebihan dan kekurangan para penuntut ilmu dan pendidiknya. Oleh itu, kenapa perlu bersedih dengan sistem yang falasi dan simplistik ini? Disebabkan ada pihak yang berjaya dan diangkat darjatnya menjadi idola, maka yang lain dipandang sebelah mata.

Ini adalah contoh mudah untuk mencetuskan buah fikir kepada manusia betapa olahan psikologi persaingan zaman moden kini tidak mendidik individu manusia melengkapi antara satu sama lain berdasarkan kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini memiliki sifat yang istimewa dan unik berdasarkan kelebihan dan kelemahan yang ada pada dirinya. Persekitaran merupakan faktor utama yang mampu mempengaruhi setiap individu manusia mengenalpasti sifat unik yang dimiliki. Menguasai persekitaran merupakan kemahiran yang seharusnya dituntut oleh setiap individu manusia. Oleh sebab itu, sudah tiba masanya untuk kita memandang ke arah ilmu yang saya kenali sebagai Kejuruteraan Manusia.

Kejuruteraan Manusia Solusi Falasi Kerjaya Berpaksikan Idola


Manusia berfungsi dan mampu untuk berinteraksi antara satu sama lain disebabkan oleh sistem yang dicipta olehnya sendiri. Sistem tersebut merupakan satu bentuk medium yang menghubungkan setiap individu manusia mengikut fungsinya untuk membentuk tenaga yang digunakan di dalam hidupnya sehari-hari. Setiap individu manusia yang terlibat memainkan peranan yang unik berdasarkan kelebihannya masing-masing.

Jika saya analogikan setiap individu manusia ini sebagai ‘peralatan’ yang diperlukan untuk mencipta sebuah mesin penjana tenaga kuasa elektrik, maka kaedah mencantumkan setiap bahagian ‘peralatan’ tersebut agar berfungsi mengikut tujuan pengabungannya boleh dikenali sebagai proses menghasilakan sistem.

Dalam sekumpulan manusia ini, individu yang mengawalselia atau mencipta sistem adalah individu yang memainkan peranan sebagai ‘engineer’ kepada mesin tersebut. Kemahiran teknikal seperti mengenalpasti bentuk fizikal, ketahan-lenturan reaksi kimia dan bioletasi ‘spare-part’ yang terlibat perlu untuk dihadam terlebih dahulu sebelum proses cantuman berlaku.

Jurutera yang baik adalah mereka yang mampu mencipta, menjelaskan, dan membaikpulih sistem agar berfungsi mengikut peranannya. Bezanya dengan jurutera sebenar, jurutera manusia ini berupaya untuk berkomunikasi dengan setiap ‘peralatan’ yang terlibat di dalam mesin yang diciptanya. Oleh itu, penjelasan yang tepat terhadap peranan setiap ‘part’ di dalam mesin tersebut merupakan kawalan persekitaran yang mampu untuk memastikan bahawa setiap mereka yang terlibat berfungsi mengikut spesifikasi yang sudah ditetapkan penciptanya.

off-grid-solar-panel-system
source: Google Image

Kita ambil contoh sistem penjana kuasa elektrik tenaga solar. Untuk membinanya, ‘peralatan’ asas yang terlibat ialah solar panel, konduktur elektrik, inverter, bateri, dan suis. Kelima-lima ‘peralatan’ ini memiliki bentuk fizikal, kelebihan dan kekurangan yang berbeza-beza. Berbekalkan analisis dan sintesis yang baik oleh Jurutera yang terlibat, mereka menggunakan sifat unik dan kelebihan yang ada pada setiap ‘peralatan’ ini untuk dicantumkan menjadi satu sistem yang boleh menjana kuasa dan tenaga elektrik. Jurutera yang mampu mengawalselia fungsi sistem ini bekerja adalah mereka yang mahir dalam mengenalpasti kelemahan yang ada pada setiap ‘part’ yang terlibat di dalam mesin janakuasa ini.

Dalam ilmu kejuruteraan manusia pula, proses mencantumkan kelebihan yang ada menjadi sedikit kompleks akibat ‘peralatan’ yang terlibat adalah unsur yang bernyawa dan mampu memberi respon secara terus melalui perasaan dan emosi yang dimiliki oleh mereka.

Cabaran major dalam pencantuman ini ialah budaya bersaing hasil didikan ilmu mengejar idola. Hasil daripada budaya falasi informal ini, setiap individu manusia gagal untuk memainkan peranannya dengan baik akibat setiap mereka ini diajar untuk menjadi orang lain bukan menjadi diri mereka sendiri.

Generasi kini gagal memahami hakikat ilmu yang dipelajari perlu untuk menguatkan kelebihan yang dimilikinya bukan untuk menguatkan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Sebagai contoh, disebabkan rakyat Malaysia terlalu obses menjadi pengguna teknologi dan sains, maka anak-anak mereka akan dikerah tenaganya secara total untuk menjadi ahli sains. Kemahiran ilmu sebaliknya akan dibantutkan dengan serta merta malah mendapat perhatian kelas kedua dalam sistem pendidikan di Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika kita melihat generasi muda di Malaysia kini gagal untuk mengenalpasti identiti dan peranan mereka masing-masing di dalam kerjaya yang diceburi. Kelebihan yang mereka miliki gagal digunakan semaksimum mungkin akibat tidak wujud ilmu kejuruteraan manusia yang harus dipelajari dengan mahir oleh ibu-bapa dan para golongan pendidik di Malaysia.

Ibu bapa dan para guru adalah golongan yang seharusnya bertindak sebagai Jurutera kepada anak didik mereka. Olahan sistem pendidikan yang berpaksikan persaingan dan dewan perperiksaan semata-mata adalah sistem yang sudah lama terbukti gagal dalam mendidik psikologi generasi masa hadapan yang ‘menjadi’ terhadap masa depannya.

maxresdefault
source: Google Image

Mengenal pasti kelebihan dan kelemahan setiap anak didik adalah satu-satunya kaedah yang boleh memberi kelebihan kepada ibu bapa dan para guru mencipta sistem, menjadi jurutera yang akan memaksimumkan sifat unik dan keistimewaan yang dimiliki oleh setiap anak didik mereka masing-masing. Kemahiran mengawal persekitaran sistem agar proses cantuman setiap ‘part’ yang membolehkan sistem itu bekerja dan berfungsi dengan baik adalah sangat dituntut. Berhentilah mencari idola. Jika anda rasa solar panel itu nampak lebih cantik bentuk fizikalnya dan lebih mahal harganya, tidak ada kesudahan untuk seorang Jurutera memaksa sistem bekerja menjana tenaga elektrik hanya dengan solar panel sahaja. Jika sifatnya adalah inverter, dan anda memerlukannya di dalam sistem, maka dia tidak akan boleh berfungsi sebagai solar panel dan begitu juga sebaliknya.

Join the discussion