Perception

Modernisasi Sosial dan Ketamadunan Manusia Digital

Setelah lebih kurang 70 tahun sistem Britten Wood digunapakai, kini tidak ada sesiapapun yang mampu menjelaskan fenomena pencetakan wang yang melebihi simpanan dolar atau emas yang dimiliki oleh negara pencetak atau negara rujukan. Sedangkan pada asasnya simpanan emas atau dolar Amerika menjadi limit kepada nilai matawang yang mampu dimiliki oleh sesebuah negara. Bagaimana mungkin misalnya Malaysia yang memiliki kadar defisit (simpanan berkurangan) yang tinggi boleh mencetak matawang melebihi simpanan (dalam bentuk bon) dolar Amerika yang dimilikinya? Gunalah istilah pelik-pelik yang orang awam tidak mampu memahaminya, namun jika kita sebagai rakyat Malaysia memahami asas sistem Britten Wood ini, saya yakin, kita tidak akan mudah terpedaya.

Tanpa disedari, wang sudahpun berjaya menjadi penentu kepada arah dan halatuju kehidupan manusia. Golongan muda berpendidikan semata-mata untuk menjadi pekerja berhabuan tinggi. Yang berduit mendongak dagu berhidung tinggi atas fikirnya wang mengangkat darjat mereka, lalu menggunakan yang miskin sebagai pekerja. Individu berwang disanjung sebagai kejayaan. Manakala kegagalan dianggap sebagai sumpahan Tuhan. Darjah insani dan kemanusiaan diukur menggunakan skala matawang. Media dijadikan kitab rujukan kebenaran. Kewujudan pendeta ilmu tanpa keuntungan boleh dikira dengan jari. Oleh itu tindakan kerja yang menjana kerugian adalah mencaci diri sendiri. Kuasa yang ada pada wang mencipta prinsip kehidupan berajakan modal. Yang gagal beraksi dipinggirkan. Nilai ketamadunan manusia kini ditakrif oleh wang dengan mendefinisikan kebebasan hidup bersandarkan kepada milikan wang yang melebihi keupayaan.

Secara peribadi, saya melihat situasi ini sebagai isu kompleks yang perlu untuk dicari asas penyelesaiannya. Tidak salah menggunakan wang sebagai perantara urusan jaul beli yang sememangnya mampu memudahkan kehidupan sehari-hari. Sama seperti gula, tidak salah untuk menggunakan gula dalam minuman, namun penggunaanya yang berlebihan pasti menjejaskan kesihatan. Begitu juga wang, kebergantungan hidup pada wang tanpa had adalah amalan yang sebenarnya membunuh diri secara perlahan-lahan. Oleh itu, solusi berbentuk menafikan kuasa yang ada pada wang wajib dicari dan diamalkan oleh setiap individu yang ingin merasai nilai kebebasan hidup yang sebenar dengan meletakkan limitasi kepada penggunaan wang.

Membangun Semula Tamadun Menafikan Wang

gsfhdg
Source : Google Images

Generasi digital masa kini terlalu futuristik. Tamadun yang berkembang tanpa teknologi dilabel sebagai kuno. Mungkin ada benarnya, namun kecenderungan sistem pendidikan yang kurang praktikal, mendidik generasi digital yang pasif sumbangannya terhadap tamadun kemanusiaan. Sukar untuk melihat keluarga yang mendidik anak-anak mereka tanpa melibatan teknologi. Institusi pendidikan pula meletakkan ilmu yang kurang memberi sumbangan kepada teknologi sebagai ilmu kelas bawahan, hal ini berlaku akibat kurangnya permintaan terhadap aplikasi ilmu tersebut untuk menjana keuntungan. Maka dengan itu, teknologi khasnya digital terus menerus diperdagangkan.

Tidak hairanlah jika mejoriti ahli akademik menjadi pekerja dan bukannya pendidik. Yang seharusnya mendidik pula tidak berperanan sedemikian melainkan ilmu yang dikongsi perlu ada habuan yang cukup untuk melepaskan tuntutan kehidupan mereka yang berpaksikan wang. Oleh itu, ramai yang bergelar guru hanya sekadar nama. Perbuatan ini menjadi mata rantai yang tersambung biak melalui budaya ajar dan baca apa yang ada di dalam silibus pendidikan sahaja. Intelek yang disemai dalam dewan perperiksaan melahirkan lambakan ahli akademik yang mahir menghafal patent soalan dan jawapan semata-mata. Generasi digital ini bangga dan sanggup berkorban apa sahaja demi mendapatkan pengiktirafan sistem pendidikan moden sebegini.

Memerhati dari sudut satelit, sistem pendidikan moden ini sebenarnya merekrut manusia menjadi mesin yang berdieselkan wang. Kompetensi diiktiraf berdasarkan keuntungan yang mampu dijana oleh ilmu yang dikaji. Ilmu dicipta mengikut silibus yang difahamkan wujud limitasinya. Institusi pendidikan pula melobi bahawa idea perlu diiktiraf oleh organisasi yang berdaftar dan disokong oleh golongan elit untuk menjadikannya suatu ilmu yang halal untuk diketengahkan. Inilah platfom ilmu yang dinamakan sebagai akademik. Ramai yang gagal memahami bahawa jenis ilmu akademik ini sebenarnya menutup gerakan generasi moden yang berfungsi tanpa wang. Maka tidak hairanlah, kewujudan mesin penjana tenaga alternatif dinilai atas paras siling dan yang percuma disenyapkan. Bagi mereka, untuk hidup kita perlu bekerja untuk mendapatkan wang. Kebergantungan hidup terhadap wang adalah wajib. Amalan yang cuba mencari alternatif kepada wang dianggap mundur dan tidak memiliki masa depan yang terjamin. Malah tidak layak ianya digelar sebagai suatu bentuk kejayaan.

Oleh itu, artikel ini ditulis untuk memberi kredit kepada individu atau kumpulan yang bertindak menafikan kuasa wang. Jika diamati, dalam apa sahaja ajaran agama sekalipun, terutamanya kelompok samawi di dunia ini, asas kepada ilmu kehidupan yang mengerakkan tamadun kemanusiaan ialah kemahiran untuk meneruskan hidup. Merentasi ajaran ketiga-tiga agama samawi ini, saya simpulkan bahawa Ibu bapa disarankan untuk mengajar anak mereka akan ilmu kemahiran menungang, berenang, memamah, berdagang, bertani, memasak, dan mengkaji ilmu. Secara peribadi, tujuh (7) kemahiran ini saya kategorikan sebagai ilmu asas yang wajib dikuasai oleh setiap manusia di dunia ini. Mahir dalam (7) perkara ini mampu untuk mengurangkan kebergantungan hidup kepada wang, Lalu, ia secara langsung dapat menafikan kuasa yang ada pada wang. Baca <disini> untuk mengetahui huraian dengan lebih lanjut akan dakwaan saya terhadap penguasaan (7) perkara tersebut mampu memansuhkan pengaruh wang dalam kehidupan kita sehari-hari.

091014money
Source : Google Images

Join the discussion