Perception

Najib dan Wawasan 2020

Lebih kurang 20 tahun yang lalu, semasa saya masih berada dibangku sekolah lagi, saya difahamkan bahawa pada tahun 2020 negara kita akan menjadi negara maju. Bila saya bertanya apakah itu negara maju? seorang guru berusaha dengan gigih untuk memahamkan saya bahawa negara maju adalah negara yang memiliki pendapatan yang tinggi, kaya raya, pembangunan yang pesat, kenderaan yang canggih manggih, boleh jadi juga teknologi kenderaan pada masa tersebut boleh mencipta kereta terbang dan ia digunakan dengan berleluasa di Malaysia. Fahaman menjadi terlalu ekstrim dengan khayalan dan imaginasi kanak-kanak saya memacu kearah… rumah setinggan di kampung Kunak saya tidak lagi wujud dan ia akan digantikan dengan bangunan pencakar langit. Sampai kesitu gambaran saya terhadap Malaysia pada tahun 2020 nanti.

 

Kini, zaman itu sudahpun berlalu pergi. Hanya tinggal lima tahun sahaja lagi negara saya Malaysia akan berada di tahun 2020. Sejak 20 tahun berlalu, apa yang dapat saya perhatikan ialah, rumah setinggan saya di kampung Kunak masih lagi berdiri tegak, jalan masih lagi tidak berturap, pengangkutan awam masih bergantung dengan van dan kereta sapu, air perigi masih menjadi sumber bekalan. Malah keadaan menjadi semakin teruk bilamana harga barangan menjadi semakin mahal. Gaji abang saya yang bekerja di kedai runcit tempatan berbeza hanya 200 ringgit sahaja daripada 10 tahun yang lepas. GST dijadikan alasan oleh peruncit untuk meletakkan harga barangan yang melambung tinggi nilainya. Entah dimana sistem pengauditan boleh berlaku sekiranya setiap proses jual beli tidak bercatat dan berlaku atas tangan sahaja, saya tidak nampak sebarang rekod GST diperincikan, pun begitu adakah perniagaan mereka ini layak untuk isytiharkan GST?. Inilah tempat kelahiran saya, Kunak Sabah. Tidak tahu pula apa nasib penduduk di tempat terpencil yang lain. Saya yakin, hampir 80% kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah juga menghadapi masalah yang sama.

Melihat kepada keadaan ini, yakin saya katakan bahawa Wawasan 2020 merupakan cerita dongeng yang dijanjikan oleh kepimpinan negara kita. Kisah ini tidak ada beza sifatnya dengan cerita Aladin, Snow White, Cinderella dan mana-mana kisah khayalan dongeng yang saya baca semasa saya berada dibangku sekolah lagi. Sehingga kini, untuk menyedapkan hati, saya selalu berfikir betapa hebatnya kerajaan Malaysia mencipta cerita dongeng yang mewarnai dunia khayalan kanak-kanak saya dan kisah ini hampir dipercayai oleh setiap kanak-kanak yang lahir sezaman dengan saya.

Kini, keadaan menjadi semakin kritikal bilamana Najib masih memerintah Malaysia. Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya membuktikan bahawa Wawasan 2020 adalah kisah dongeng dan jenaka yang hebat dalam sejarah negara sekiranya Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Mari kita berkenalan secara ringkas siapakah Najib Razak ini.

PROFIL RINGKAS NAJIB RAZAK


Najib Razak merupakan ahli politik Malaysia yang berasal daripada keturunan aristokrat bangsawan. Beliau adalah anak sulung daripada Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua dan Hussein Onn adalah bapa saudara beliau, merupakan Perdana Menteri ketiga negara. Selepas memperolehi ijazah ekonomi perindustrian dari Universiti Nottingham di UK, Najib kembali ke Malaysia pada tahun 1974 dan bekerja untuk syarikat minyak negara Petronas. Kematian mengejut bapanya dua tahun kemudian meninggalkan kerusi Parlimen kosong dan Najib menyertai politik dengan serta merta. Di usia 23 tahun, beliau menjadi Ahli Parlimen termuda dalam sejarah Malaysia. Bermula detik ini, Najib menjadi sangat terkenal dikalangan ahli politik di Malaysia. Beliau memegang pelbagai jawatan dalam Kabinet negara – termasuk tenaga, telekomunikasi, pendidikan, kewangan dan pertahanan – sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Abdullah Badawi pada tahun 2004.

Dibawah pemerintahan Abdullah Badawi, pilihan raya tahun 2008 menyaksikan pemerintah Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen buat kali pertama sejak kemerdekaan Malaysia. Abdullah meletak jawatan pada tahun 2009, penyerahan kuasa terus kepada Najib yang menjadi Perdana Menteri dan pemimpin parti gabungan utama, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Tuntutan kepimpinan yang lebih baik daripada rakyat semakin vokal lalu meletakkan Najib di paras tekanan yang paling tinggi dalam sejarah pengambil-alihan tugas selaku Perdana Menteri. Himpunan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya di ibu negara Kuala Lumpur pada tahun 2011, memaksa Najib untuk menghapuskan ISA. Tetapi pada tahun 2013, Najib menunjukkan bibit ketidak-konsisten-an dalam pendirian beliau terhadap konsep penahanan semula tanpa bicara, sama seperti apa yang di gariskan di dalam ISA semasa PRU13 berlangsung. Najib berjanji akan melakukan perubahan terhadap dasar-dasar yang pro kepada kaum Melayu bilamana beliau dipilih semula sebagai ketua menerajui negara. Tetapi, insiden seperti Himpunan Merah yang jelas pro kepada kepentingan kaum melayu semata-mata menjadi persolan major dalam janji-janji yang diucapkan oleh beliau semasa PRU13 sebelumnya. Boleh dikatakan sebahagian besar janji beliau tidak menjadi kenyataan. Lagi parah bilamana kini beliau bergelut dengan masalah integriti, kredibiliti dan personal sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Kronologi Kontroversi yang Melibatkan Nama Najib Razak Di Malaysia

  1. Kes Kapal Selam Perancis 2002. Beliau menghadapi tuduhan rasuah berhubung pembelian dua kapal selam Perancis pada tahun 2002 ketika beliau menjadi menteri pertahanan. Najib menafikan sebarang salah laku.

  2. Kes Altantuya 2006. Bekas pembantunya juga dikaitkan dengan kes yang melibatkan pembunuhan seorang warganegara Mongolia pada tahun 2006. pembantunya itu dibebaskan pada tahun 2008. Kontroversi kes ini melibatkan Rosmah sekali. Sehingga kini masih tidak ada penyelesaian terhadap kes ini.

  3. Kes MH370 dan MH17. Pada tahun 2014, Malaysia digemparkan dengan dua bencana penerbangan – kehilangan kapal terbang Malaysia MH370 pada bulan Mac dan insiden menembak jatuh MH17 di Ukraine pada bulan Julai. Penjelasan yang kurang jelas dalam kes MH370 menjadikan Najib beserta kabinetnya dilabel sebagai orang yang paling tidak dipercayai oleh rakyat Malaysia masa kini. Belajar daripada kesilapan, Najib beserta kabinet bertindak tangkas terhadap insiden MH17, dan berjaya berunding dengan pemimpin pemberontak Ukraine untuk mendapatkan mayat mangsa dan perakam penerbangan.

  4. Kegagalan Kabinet beliau dalam mengatasi masalah pelaksanaan GST tanpa sokongan rakyat, penjualan Felda Venture, pencerobohan sempadan negara di Lahad Datu, dan yang paling dahsyat, badan bertindak ekonomi negara yang tidak berkesan dalam menambatnilai Ringgit Malaysia sehinggakan jatuh teruk dalam sejarah Ringgit untuk setiap 10 tahun kitaran kemelesetan ekonomi dunia. Hanya tinggal 2 tahun sahaja lagi untuk kitaran ekonomi ini berlaku, tapi kini kita sudah terkesan teruk dengan kejatuhan nilai ringgit ini.

  5. Mak Cik Rosmah. Mak Cik ini adalah individu yang boleh dikatakan punca utama kenapa Najib PM yang paling lemah yang pernah wujud dalam sejarah negara. Najib digelar sebagai ‘a man with no-balls‘ akibat sifat campurtangan Mak Cik Rosmah dalam urusan negara. Bila berbicara berkenaan Mak Cik Rosmah, satu sahaja peribahasa yang tepat untuk Mak Cik kita ini iaitu ‘sepandai-pandi tupai meloncat, akhirnya jatuh ketanah juga’. Kalau saya anologikan Mak Cik Rosmah ni sebagai tupai, apakah sebab beliau jatuh ke tanah? sebab berat badan Mak Cik dah naik, terlalu obes lalu tak mampu meloncat, akhirnya jatuh lah ketanah. Persoalan umum yang mungkin boleh timbul ialah, hasil siapakah yang dimakan oleh Mak Cik kita ini? saya yakin kita semua ada jawapannya.

  6. Pelaburan 1MDB. Sejak 2002, nampaknya Najib adalah individu pemimpin yang kurang belajar daripada kesilapan lalu. Masalah pelaburan 1Malaysia Development Berhad, 1MDB menjadikan Najib menghadapi tuduhan yang paling berpotensi merosakkan kerjaya politiknya. Sejak tahun 2009, 1MDB dilaksanakan sebagai usaha kerajaan pimpinan Najib untuk memacu ekonomi negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Tetapi sepanjang pelaksanaan projek ini, jumlah hutang projek semakin meningkat dan yang paling kontroversi Najib dituduh memindahkan hampir (dolar Amerika) $ 700m (£ 450m) ke akaun peribadinya daripada dana projek tersebut. Beliau menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan bahawa dia adalah mangsa “sabotaj politik“. Najib menuduh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamed, yang masih berpengaruh dalam politik Malaysia dan menggesa peletakan jawatan Najib, mendalangi kempen memburuk-burukkan reputasi dan kredibiliti beliau. Najib enggan meletak jawatan dan pada Julai 2015, malah beliau menggantikan timbalannya, Muhyiddin Yasin yang mengkritik cara beliau memimpin negara dan merombak kabinet dengan serta merta. Peguam Negara yang menyiasat kes tersebut juga ditolak atas sebab-sebab kesihatan. Suruhanjaya anti-rasuah pula kemudiannya berkata bahawa wang dalam akaun Najib adalah sumbangan daripada penyokong Timur Tengah, bukan dari 1MDB. Menarik wayang yang dimainkan oleh Najib dalam kes pelaburan 1MDB ini. Mungkin anak rosmah sudah boleh menulis skrip bertajuk “Sabotage” untuk dibintangi oleh Leonardo Dicaprio untuk movie blockbuster tahun hadapan.

Kesemua perkara di atas menjadi bukti betapa saya secara peribadi tidak mengemari tampuk pemerintahan Najib Razak. Pemerintahan dan keterlibatan Najib di dalam isu politik negara baru baru ini menjadikan Najib layak digelar sebagai Mayat Hidup kerana usaha untuk membersihkan imej dan kredibiliti beliau sebenarnya tak tumpah seperti orang yang dah meninggal dunia tetapi terdesak untuk hidup semula. Konflik antara Najib dan Tun M pula menjadikan isu ini lebih panas. Saya hormati Tun M dalam usaha dan keprihatinan beliau terhadap isu negara. Tetapi, jika difikirkan semula, kenapa Tun M begitu komited untuk menjatuhkan Najib? bukankah Najib suatu masa dahulu merupakan ahli politik cadangan beliau untuk menggantikan Pak Lah?

Melalui pengamatan saya, campurtangan Tun M ada kaitannya dengan masa depan negara yang semakin nazak kini. Bila kita berbicara berkaitan masa depan, hanya satu sahaja dasar gagasan tampuk pemerintahan Barisan Nasional yang jelas menuntut status negara berpendapatan tinggi iaitu Wawasan 2020. Selaku pengasas dasar, saya dapat merasakan kebimbangan Tun M ada kaitannya dengan sasaran yang ingin dicapai oleh dasar Wawasan 2020.

KENAPA MAHATHIR PERLU MENJATUHKAN NAJIB


Wawasan 2020 adalah Dasar dan usaha yang diasaskan oleh Tun Mahathir Mohamed. Di tampuk pemerintahan beliau, kita boleh lihat jelas perubahan demi perubahan yang positif ke arah merialisasikan impian kita untuk bergelar negara maju. Bagi saya, secara peribadi, kaedah dan pelaksanaan dasar beliau pada masa tersebut lebih jelas dan efisen berbanding Najib dan Abdullah. Tetapi kini, kita semakin sedar betapa Wawasan 2020 tersebut sudah menjadi semakin malap. Saya jamin, selaku pengasas, Tun M pasti ingin melihat Wawasan 2020 ini menjadi kenyataan dan bukannya sekadar impian semata-mata.

82ad0c_84576de4e98846948c1c90aca1495588-mv2

Jika saya analogikan Wawasan 2020 sebagai sebuah cerita, maka Tun M merupakan pereka cerita dan hanya beliau sahaja yang tahu apakah akhir cerita ini. Oleh itu, penglibatan beliau di dalam tampuk kepimpinan negara adalah amat penting untuk kita semua. Kita tidak boleh menafikan peranan beliau dalam menjayakan Wawasan 2020 kerana hanya beliau sahaja yang memiliki gambaran jelas apakah yang akan terjadi dengan negara kita di tahun 2020 nanti. Tetapi memandangkan dengan perkembangan negara yang semakin terencat kini, dan tidak lain dan tidak bukan Najib menjadi punca utama, kita sebenarnya melangkah setapak kebelakang. Keadaan semasa negara dengan keengganan Najib meletak jawatan dengan segera menjamin betapa Wawasan 2020 ini adalah sebuah kisah dongeng belaka. Melihat kepada keadaan ini, maka Tun M perlu menjatuhkan Najib secepat mungkin.

PERUBAHAN YANG HARUS DILAKUKAN DENGAN SEGERA


Untuk menjadikan Wawasan 2020 tidak berakhir sebagai sebuah kisah dongeng, kita perlu melakukan perubahan dalam beberapa perkara yang dapat saya kenalpasti seperti dibawah:

1. Turunkan Najib

Ini adalah tindakan pertama yang perlu kita lakukan sekarang. Najib sudah tidak releven untuk menjadi ketua kerajaan. Tidak perlu ditanya kenapa, tetapi bagi saya enam perkara di atas sudah cukup untuk meyakinkan anda betapa Najib adalah PM yang paling teruk dalam sejarah negara.

82ad0c_52978d641e764545a1f6d07dfdcdbb74-mv2

Dapat kita perhatikan bahawa tindakan beliau mempertahankan jawatan setelah menjadi punca kepada banyak kontroversi mega di negara adalah bersifat peribadi dan bukannya untuk kepentingan rakyat dan negara. Negara ini bukannya milik Najib seorang, bukan juga hak milik keturunannya. Sudah tidak ada gunanya untuk bertahan. Sekarang bukan masanya untuk membuktikan siapa salah dan siapa yang benar, tetapi kini adalah masa untuk menerima betapa lemahnya tampuk kepimpinan negara sekiranya Najib tetap menjadi PM.

2. Perkasa atau Rombak GST

Boleh laksanakan GST tetapi pastikan sistem pengurusan wang dan pengauditan dilakukan dengan jelas. Wajibkan setiap urusan jual beli memiliki rekod yang terperinci. Pihak Kerajaan perlu mengeluarkan rekod kutipan GST 2 kali setahun dan dimanakah wang tersebut dibelanjakan. Rakyat perlu tahu kerana wang GST bukan pendapatan negara semata-mata yang boleh digunapakai untuk menyelesaikan hutang negara. Wang GST tersebut perlu terlebih dahulu digunakan untuk kebajikan rakyat, pembangunan kemudahan fasiliti di kawasan luar bandar dan pedalaman, pembangunan pendidikan, dan seumpamanya.

Saya ambil contoh Australia. Negara ini merupakan negara yang boleh dikira baru sahaja mengaplikasikan GST dan berjaya dilaksanakan secara holistik dikesemua kawasan. Berdasarkan pengalaman saya selama 2 tahun di Australia, kawasan luar bandar dan pedalaman yang paling terpencil sekalipun, terdapat minimarket (bukannya kedai runcit mahupun warung) yang beroperasi menjual sumber makanan dan keperluan asas penduduk di kawasan tersebut. Minimarket ini melakukan proses jaul beli yang bercatat secara elektronik, dan pada resit tersebut jelas tertulis GST. Saya tidak pernah terjumpa warung-warung liar mahupun kedai runcit disni atau apa sahaja jenis perniagaan yang berlaku atas tangan semata-mata. Saya sempat berbual dengan salah seorang peniaga disini. Menurut beliau, pihak kerajaan Australia sangat tegas dalam pengurusan perniagaan di negara mereka. Setiap peniaga dengan pendapatan kasar AUD 75k dan keatas setahun, wajib membayar GST dan audit perlu dikemukakan 2 kali setahun kepada badan pelaksana pengauditan. Jika mereka gagal membuat laporan dalam tahun pertama, pada tahun keduanya, perniagaan mereka akan disita. Lisen perniagaan mereka akan dibekukan mengikut tempoh yang diputuskan oleh pihak berkuasa. Bagi peniaga warung di Bazaar dan majlis-majlis tertentu, pihak penganjur perlu membuat laporan jual beli untuk setiap booth. Selesai sahaja Bazaar tersebut berlangsung, dalam tempoh seminggu pihak penganjur perlu mengemukakan laporan kutipan GST kepada pihak berkuasa. Sekiranya gagal, tindakan gantung lisen perniagaan dan boleh jadi juga individu yang bertindak sebagai penganjur akan digantung daripada melakukan sebarang urus niaga dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

82ad0c_02d53e8dfede42959e79ca441444466d-mv2

Jika dikira logik, kenapa negara sebesar dan seluas Australia ini boleh melakukan pemantuan GST dengan sangat berkesan, sedangkan jika dibandingkan dengan keluasan Malaysia, di Australia, Malaysia hanyalah sebuah daerah? Di Australia ini, hanya 30% daripada kawasan berkependudukan adalah kawasan bandar, dan selebihnya adalah kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman. Malah, ada daerah di kawasan pedalaman yang seluas Satu negara Malaysia. Sebab itulah jika ada para politikus berkata agak sukar untuk melaksankan sesuatu dasar di Malaysia kerana negara kita luas dan banyak kawasan pedalam, saya nampak dengan jelas, ini hanyalah retorik semata-mata dan tidak berasas. Mungkin bagi beliau, Malaysia adalah satu-satunya negara yang ada dimuka bumi ini dan Malaysia adalah negara tunggal yang pernah beliau duduki sepanjang hidup beliau.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan GST di Malaysia masih tidak berjalan dengan baik. Pihak kerajaan tidak ada sebarang inisiatif untuk mengatasi proses jual beli yang tidak berekod, terutamanya perniagaan jenis pasar malam, warung-warung, dan kedai runcit yang sangat belambak di Malaysia. Jika alasan Pihak berkuasa perniagaan jenis ini tidak layak untuk ‘declare’ GST, maka GST memang sangat-sangat tidak sesuai untuk diaplikasikan di Malaysia. Kenapa? sebab mejoriti perniagaan rakyat Malaysia ialah jenis perniagaan kecil dan sederhana seperti warung Mak Limah, kedai runcit Ah Chong, dan pasar malam Ravi. Saya faham kenapa rakyat terasa sangat tersepit dengan pelaksanaan GST. Bukan sedakar negara tidak ada had gaji minimum dan mejoriti pekerja di Malaysia dibayar dibawah keperluan isi rumah (underpaid), tetapi manipulasi dan penyelewengan harga barangan menjadi semakin teruk dengan wujudnya GST. Siapakah yang cenderung bermain harga barangan dan makanan setelah GST diperkenalkan? bukan Pasaraya Milimewa, Maiden, Jusco, Tesco, dan seumpamanya…. tetapi, tidak lain dan tidak bukan ialah warung-warung dan kedai runcit di kawasan luar bandar dan pedalaman negara. Para peniaga warung dan kedai runcit terutamanya, yang memang jelas beroperasi di atas tangan orang tengah sebagai pembekal sumber, dengan mudah menaikkan harga barangan sesuka hati. Bila ditanya kenapa, alasan mereka GST, tetapi jika dilihat dengan cara mereka berniaga, entah dimanakah keadaan mereka mampu mengistiharkan kutipan GST kepada pihak berkuasa? kerana apa yang dapat saya perhatikan, perniagaan tersebut tidak memiliki sebarang rekod dan berlaku atas tangan sahaja.

Maka, sejauh mana kemampuan pihak kerajaan dalam usaha kutipan dan pengauditan GST ini sedangkan kutipan cukai perniagaan untuk jenis perniagaan kecil dan sederhana (enterprise) pun gagal untuk dilakukan dengan baik oleh mereka, apatah lagi GST? Terlalu banyak peniaga-peniaga jenis enterprise bacul untuk membayar cukai pendapatan mereka. Inilah bukti benih ketidak-mampuan kabinet ciptaan Najib terhadap keberkesanan pengurusan cukai dalam negara lalu membuktikan kepada kita ketirisan dan kegagalan pelaksanaan GST yang jelas mencekik pengguna di Malaysia pada masa hadapan. Itupun dengan jelas kita lihat Najib sendiri berkata bahawa hasil pelaksanaan GST berkesan mengurangkan hutang negara. Maksudnya, GST dilaksanakan untuk membayar hutang negara dan bukannya untuk kebajikan rakyat, pembangunan kemudahan fasiliti di kawasan luar bandar dan pedalaman, mahupun pembangunan pendidikan negara yang jelas semakin teruk saban tahun.

3. Hapuskan BRIM

Program ini adalah tindakan yang paling dangkal pernah dilakukan oleh kerajaan negara kita dalam sejarah. Pemberian BRIM langsung tidak membantu kuasa beli rakyat dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Ia jelas merupakan usaha Najib menggula-gulakan rakyat sepertimana seorang ibu-bapa yang berusaha untuk menghentikan anaknya yang kelaparan daripada terus menangis lalu menawarkan gula-gula untuk dimakan. Persoalan yang timbul ialah, sampai bila gula-gula tersebut bertahan untuk memberhentikan anak tersebut daripada menanggis? Mampukah anak tersebut merasa kenyang dengan hanya kudapan gula-gula? dan yang paling penting ialah, adakah anak yang menangis tersebut merupakan seorang kanak-kanak, remaja, ataupun sudah dewasa? Dalam kes Najib sebagai ibu-bapa, anak beliau yang menangis ini adalah seorang dewasa. Diusia saya sekarang ini, memang agak lucu bilamana mak atau ayah saya menawarkan sebiji gula-gula untuk mennghentikan saya daripada menangis kelaparan. Ada usaha, tetapi tidak berkesan. Setelah GST dilaksanakan oleh kerajaan, apa yang perlu dilakukan seterusnya ialah menetapkan had gaji minimum dikesemua sektor pekerjaan di Malaysia. GST saya analogikan seperti keadaan yang mengambil lebihan wang daripada kocek kita, tetapi sekiranya tidak ada sebab untuk kita mampu mengisi kocek sendiri, sedangkan lebihan diambil oleh GST, maka keadaan kocek kita kekeringan akan berlaku. Papa kedana jadinya hidup kita nanti. Maka, apakah keadaan yang mampu memberi kita kebolehan/kuasa untuk mengisi kocek kita sendiri dalam masa yang sama mampu memberi lebihan kepada GST?

82ad0c_72a5421c9fdf4582baf8d1ff0792111d-mv2

Satu sahaja jawapannya, iaitu sumber pendapatan yang tinggi. Bagaimana caranya? Pihak kerajaan perlu melaksanakan had gaji minimum. Mereka perlu mengkaji semula dengan sumber yang betul, perbezaan pendapatan kawasan bandar, luar bandar, dan pedalaman. Mereka perlu memahami keadaan sebenar kuasa beli dan keperluan isi rumah pengguna masa kini. Bagi saya, inilah tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh pihak kerajaan. Wang BRIM tersebut, adalah lebih elok dan berkesan sekiranya dibelanjakan untuk menggaji para penyelidik yang bertindak sebagai “surveyor” di lapangan sebenar kependudukan pengguna. Bancian perlu dilakukan, dan hasil daripada kajian tersebut, pihak kerajaan mampu untuk mengetahui dengan jelas had gaji minimum yang perlu diletakkan kepada pengguna yang berada di kawasan bandar, luar bandar, dan pedalaman. Dalam masa yang sama, para penyelidik ini boleh digunakan untuk mengkaji keberkesanan pelaksanaan GST.

4. Beri peluang kepada barisan alternatif untuk memerintah Malaysia

Saya tidak boleh jamin bahawa bilamana negara diperintah oleh barisan Pembangkang, negara akan menjadi lebih baik daripada keadaan sebelumnya. Apa yang saya faham, ibarat sebuah rumah, Malaysia merupakan sebentuk rumah yang sudah cacat dikerjakan oleh barisan pemerintah sekarang. Setelah berusia lebih kurang 60 tahun diduduki (dibawah kendalian) Barisan Nasional, boleh dikatakan Malaysia kini merupakan rumah yang sudah reput dimakan anai-anai, ataupun bumbung rumah bocor akibat kerja-kerja baikpulih dilakukan hanya sekadar menampal dan bukannya menggantikan atap yang buruk dengan yang baru, boleh jadi juga bil api dan air sudah lama tertunggak dan bayaran sewa beli rumah sudah lama tidak diselesaikan.

82ad0c_09cde42f2ecb49b2bbfc7033f04ca468-mv2

Sekiranya barisan Pembangkang adalah pimilik baru kepada rumah tersebut, apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu ialah mereka wajib membaikpulih rumah tersebut dengan menggantikan peralatan yang rosak dengan yang baru agar ia mampu menjadi sebuah rumah yang elok untuk diduduki oleh rakyat. Memandangkan negara merupakan entiti yang lebih besar daripada sebuah rumah, maka barisan pembangkang perlu berusaha berkali lebih ganda untuk membaikpulih setiap kerosakan yang ada dan rakyat perlu memberi masa yang relevan untuk mereka bertindak dalam proses baik pulih tersebut. Tidak adil dengan hukuman simplistik dengan hanya satu penggal sahaja maka kita menghukum mereka gagal sebagai pemilik baru. Bagi saya, mereka perlukan lebih daripada tiga siri perancangan ekonomi nagara, iaitu lebih kurang 15 tahun lagi untuk menunjukkan hasil. Jika kita membiarkan Malaysia dikendalikan oleh Barisan Nasional dalam satu penggal lagi, dengan krisis politik yang terlalu teruk sekarang, saya lagi tidak yakin untuk membiarkan Malaysia di ketuai oleh Najib mahupun Zahid dalam usaha kita membaikpulih rumah kita yang sudah rosak kerana apa yang saya perhatikan kaedah penyelesian masalah pihak Barisan Nasional kini ialah menampal dan bukannya megganti. Barisan kepimpinan kerajaan sekarang terlalu bersifat peribadi dan berfokus kepada masalah picisan sahaja. Jika keadaan ini berterusan, saya yakin betapa status negara maju yang ingin kita capai di tahun 2020 adalah kisah dongeng belaka.

5. Hapuskan kepentingan kaum

Sentimen perkauman terlalu dipermainkan oleh politikus tua di dalam kepimpinan negara. Idealogi berbaur perkauman tidak lagi releven masa kini. Usaha untuk membentuk Bangsa Malaysia sudah semakin malap. Dapat saya perhatikan bahawa, para politikus moden atau muda masa kini lebih berfokus kepada kestabilan politik dan ekonomi negara. Mereka kurang berminat dengan percaturaan kaum dan sentimen unipolar untuk mendapatkan sokongan rakyat. Politikus tua pula adalah entiti yang sering muncul sebagai hero kepada sesuatu kaum, dengan harapan kaum tersebut akan terus menyokong mereka. Malangnya, rakyat kini semakin cerdik (kecuali masyarakat Felda, juga penduduk pedalaman Sabah dan Serawak; golongan ini adalah mejoriti di Malaysia) untuk menolak ideologi perkauman dan survival sesuatu kaum sahaja.

82ad0c_2f0c53be14f04c429baa7f4540dc6e8f-mv2

Kewujudan media alternatif seperti Facebook sangat membantu untuk menyedarkan rakyat Malaysia akan perbezaan antara Bangsa Malaysia dan juga Kaum di malaysia. Sebagai contoh, himpunan Bersih merupakan satu bentuk keberkesanan peranan media sosial seperti Facebook untuk menjayakannya. Pertikaian utama muncul bilamana himpunan tersebut mejoriti di hadiri oleh kaum cina sahaja. Tidak boleh dinafikan, antara tiga kaum utama di Malaysia, kaum cina adalah kelompok Bangsa Malaysia yang lebih kehadapan berbanding kaum melayu dan india. Jika kita kembali kepada sejarah pun, taburan kependudukan rakyat di kawasan bandar, mejoritinya adalah kaum cina. Himpunan Bersih pula di anjurkan di pusat-pusat bandar utama setiap negeri. Maka tidak mustahil peglibatan daripada kaum cina adalah mejoriti. Cuba bayangkan jika pusat anjuran himpunan tersebut di kawasan Felda, atau di pedalaman Sabah dan Serawak, sudah tentu penglibatan kaum melayu lebih ramai daripada kaum cina dan india. Malangnya, himpunan berkonsep menentang tampuk kepimpinan negara adalah agak mustahil berlaku di kawasan Felda dan juga pedalaman Sabah Sarawak. Kenapa? saya yakin, tahap kesedaran mereka terhadap hak mereka sebagai pengundi selaku rakyat Malaysia masih rendah. Boleh jadi demokrasi juga bisa difahamkan oleh kelompok ini seperti sistem pemerintahan republik atau monarki.

Jika kita teliti dengan baik, perjuangan Bersih tersebut adalah untuk keadilan di dalam negara dan memang itupun yang dikalukan oleh setiap ahli yang berhimpun. Maka, bagi saya Bersih adalah himpunan yang releven. Malah setiap mereka yang berhimpun pun masih beridentitikan Bangsa Malaysia. Mereka tidak berhimpun untuk kepentingan parti orang cina semata-mata, pun begitu mereka menggunakan bahasa Malaysia yang jelas dengan tuntutan sistem pemerintahan yang lebih adil. Kenapa sibuk untuk mempertikaikan kaum apa yang mejoriti berhimpun sedangkan kita semua tahu mereka itu adalah rakyat Malaysia juga. Undi mereka tetap dikira, lainlah kalau selepas ini undian kaum cina ini akan dikira separuh semasa pilihan raya nanti. Kenapa tidak untuk kita bersama-sama turun berhimpun berdiri dengan tuntutan yang sama tanpa prejudis mempertikaikan siapa kaum mejoriti? Selaku generasi moden, saya sangat berharap kita bertindak atas sebab Bangsa Malaysia, dan sekiranya kita sedar betapa pentingnya Bangsa Malaysia ini mampu untuk bersaing dengan Bangsa daripada negara lain dan diiktiraf dunia, maka Bersih adalah permulaannya.

Yakin saya katakan, tampuk pemerintahan kini sudah nyanyok. Himpunan seaman Bersih itupun dikatakan haram. Jika begitu, apa pula alkisahnya dengan himpunan merah baru-baru ini? Himpunan ini jelas berpihak kepada kaum Melayu semata-mata. Terlalu unipolar. Lihat sahaja ahli yang berhimpun, mejoritinya rakyat melayu yang sudah berusia dengan bangga menyeru ketuanan melayu diperjuangkan. Penyertaan terhadap himpunan ini pun boleh dibilang dengan jari jemari. Himpunan merah ini terlalu berunsurkan rasis. Bagi saya, mereka ini layak didakwa atas akta hasutan. Inilah bukti betapa ceteknya ideologi kepimpinan politikus tua yang tidak pun mendatangkan faedah kepada kestabilan politik negara mahupun keberkesanan ekonomi masa kini.

KESIMPULAN


Artikel ini ditulis adalah untuk menganalisis kelemahan dan peranan Najib sebagai PM Malaysia serta ideologi Wawasan 2020.  Berdasarkan situasi semasa, saya melihat Najib merupakan pemimpim yang kurang berkebolehan untuk mendukung saranan Wawasan 2020. Oleh itu, terdapat 5 saranan di dalam artikel ini untuk kita sama-sama fikirkan bagi mengubah masa depan Malaysia menjadi negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Kesemua impian ini tidak akan tercapai sekiranya kita gagal membentuk dan memahami betapa peri pentingnya kita membentuk masyarakat Bangsa Malaysia seperti apa yang telah disarankan di dalam Wawasan 2020. Wawasan ini akan berakhir menjadi kisah dongeng sekiranya kita membiarkan Najib terus memerintah negara. Oleh itu, perubahan perlu berlaku daripada sekarang dan ia bermula daripada diri kita sendiri.

Join the discussion